Pages

Monday, April 6, 2015

Perihal diri saya

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah yang telah beri terlalu banyak rahmat dan nikmat hidup dudunia ini. Semoga kehidupan diakhirat nanti lebih baik dan dikurniakan syorga Allah.

BAPAK MENGOBOR CARI REZEKI

PADA 17 Januari 1942, pertempuran sengit berlaku di antara Batalion Ke-19 British dengan pihak Jepun di selatan Muar. British yang diketuai oleh AIF Leftenan-Kolonel Anderson, dengan sokongan tentera India dan Australia membentuk pasukan Muar terpaksa berundur sehingga ke Singapura. Kira-kira 14 hari kemudian, pada 31 Januari, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke dalam tangan Jepun.

Tiga tahun berlalu. Pada 4 Januari 1945, saya lahir ke dunia. Beruntung saya kerana disambut oleh nenek saya sendiri, seorang bidan kampung. Zaman itu hampir semua kelahiran berlaku dirumah dan disambut olih bidan kampung.  Suasana rumah bapak di Parit Pinang Seribu yang terletak di daerah Muar itu diselubungi rasa syukur dan gembira. Tetapi ibu kandungku Sapiah tidak sempat melihat  saya jadi doktor, dia menyahut panggilan Ilahi ketika umur saya 18 bulan , dengar cerita akibat dari keguguran dan perdarahan yang berlarutan. Hingga sekarang saya tidak bolih bayangkan bagaimana paras rupa ibu kandungku.

Bapak saya kahwin lagi dengan ibu tiri saya Yamah ketika umur saya dua tahun dan kerana belaian kasih sayang yang beliau berikan kepada saya saperti anak kandungnya sendiri, saya tidak tahu yang beliau bukan ibu kandungku sehinga saya berumur belasan tahun. Adik beradik seibu dengan saya ada 4 orang, Mahfuz, Ansor, Bakar dan saya . Malang abang saya Ansor meninggal ketika umurnya 6 tahun. Sedangkan adik2 saya dengan Mak Yam ada 3 orang , semua perempuan, Raboah, Rubiaton dan Jumaati.

 Kata bapak, zaman itu sungguh sukar. Zaman Jepun. Beras dicatu dan perkhimatan kesihatan pun sangat sukar didapati. Makanan biasa ialah ubi kayu rebus dengan ikan masin. Kadang kala bubur nasi dengan campuran keledek rebus. Orang-orang kampung sentiasa bantu-membantu sekiranya ada yang di dalam kesusahan. Boleh dikatakan keadaan waktu itu agak sukar juga.

  Bila abang-abang mengail di parit, dapatlah merasa ikan keli, sepat atau haruan. Emak akan memasak gulai lemak atau memanggangnya untuk dicicah dengan sambal belacan. Pucuk ubi atau pucuk paku juga menjadi sayur-sayuran lazim ketika menghadap juadah tengah hari atau malam. Juga bermacam jenis ulam seperti pucuk gajus, ulam raja, pegaga, umbut buluh dan bunga betik yang dijadikan kerabu atau urap.

Kehidupan di kampung yang damai dilengkapi lagi dengan pelbagai jenis buah-buahan yang mengikut musim. Durian, mangga, rambutan, manggis dan lain-lain lagi mewarnai kehidupan di kawasan perkampungan yang teramat damai. Air parit yang jernih dan air telaga yang dingin memberi kesempurnaan yang hakiki buat pencinta alam. Demikian kehidupan yang serba ringkas di perkampungan yang terletak enam batu dari pekan Muar itu.


 Hanya sesekali pecah berita tentang kekejaman askar Jepun memerangi a orang-orang kampung yang ingkar terhadap perintah mereka. Malah kesalahan kecil dianggap berat oleh mereka. Mereka juga menindas orang-orang Melayu di kawasan kampung dan sentiasa mencurigai orang-orang Cina.

Di merata-rata tempat di seluruh dunia, dari Russia dan Jerman ke China, serta kawasan Asia khasnya, rakyat kebanyakan negara menderita kerana kekurangan makanan. Hampir 50 juta nyawa penduduk dunia terkorban kerana Peperangan Dunia Kedua itu. Kemaraan Jepun hanya berjaya disekat setelah Amerika Syarikat menggugurkan bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos dan Nagasaki tiga hari kemudiannya. Segalanya musnah dalam sekelip mata. Sungguh tragis dan meninggalkan impak yang bukan kecil.


 Ketika saya berumur 8 bulan, askar-askar Jepun berundur dari Tanah Melayu. Akhirnya mereka menandatangani dokumen menyerah kalah pada 2 September 1945. Pihak British kembali. Dan mereka mengatur pemerintahan mengikut keperluan penduduk yang berbilang kaum. Pelbagai strategi dirangka bagi membangunkan negara yang masih agak mundur itu.

Keadaan kembali aman. Lebih banyak kedai-kedai di pekan Muar dibuka. Kebanyakan orang-orang Cina bergiat dalam bidang perniagaan hanya terdapat segelintir sahaja kedai melayu. Ladang-ladang kopi juga diterokai dan buruh-buruh dari India dibawa masuk oleh syarikat kepunyaan rakyat Inggeris untuk bekerja di estet-estet getah.

Saya membesar dalam limpahan kasih sayang keluarga. Abang-abang yang seibu iaitu Mahfuz dan Bakar sentiasa bermain bersama-sama saya dan kadangkala bergilir-gilir menjaga saya. Hendak dikatakan saya nakal semasa kecil, tidaklah juga tetapi sama seperti kanak-kanak lain yang terlalu ingin tahu akan sesuatu. Rutin seharian bagi saya, bangun, makan dan bermain sehingga lewat petang. Waktu itu kawasan kampung di kelilingi kebun2 getah.



Di sebelah kebun getah milik penduduk kampung itu, ada kawasan hutan tebal dengan pokok-pokok cengal, mempelas dan berjenis tumbuhan yang lain. Di situ juga tempat ayam-ayam liar berkeliaran. Kadang-kadang abang-abang saya yang berani akan ke sana untuk cuba menangkap ayam-ayam itu. Mereka juga handal melastik burung. Itu adalah kebiasaan budak-budak kampung yang lasak dan tidak suka duduk diam.

Namun begitu, pastilah emak melarang kerana hutan bukan tempat bermain yang sesuai. Banyak binatang liar seperti ular, kala jengking dan landak. Itu tidak termasuk lebah, lipan dan seumpamanya yang melata di celah-celah dedaun kering pokok tembusu atau di perdu salak. Silap hari, monyet yang buas akan mengejar. Bukan itu saja, ada kanak-kanak kampung yang kena sampuk oleh makhluk halus bila bermain di tepi busut.

Masih kental di dalam ingatan saya, seawal jam tiga pagi, emak mengejutkan bapak. Sebaik saja bangun, membersihkan diri dan memakai kemeja serta seluar kerjanya yang berbau getah sekerap, bapak pun menyalakan lampu obor untuk menoreg getah. Diwaktu pagi susu getah memang keluar banyak dan lancar. Emak pula pasti membekalkan kopi dan sedikit kuih bagi mengalas perut. Dalam kedinginan pagi itu, mereka berjalan menyusuri denak. Cahaya obor yang kadang kala terbuai-buai ditiup angin, melontarkan bebayang mereka ke segenap penjuru laluan yang dipenuhi semak-samun.

Bila bertemu penoreh getah lain di jalanan itu, mereka saling melaungkan nama masing-masing cuma sekadar meriuhkan suasana. Dalam kegelapan dinihari itu, tiada sesiapa tahu sama ada seekor harimau sedang menunggu mangsa di sebalik banir pokok jati. Setiap masa melangkah, ayah akan memerhatikan sekeliling sambil cuba mendengar sekiranya ada bunyi-bunyi asing seperti dahan atau ranting patah dipijak binatang buas.

Bapak membawa parang panjang yang tersisip di pinggangnya. Sekiranya bahaya datang, tanpa teragak-agak, mereka akan menghayunkan parang ke arah ancaman yang tidak diingini itu. Mujur juga mereka tidaklah pernah mengalami peristiwa yang cemas.
Walaupun begitu, ada juga penduduk kampung yang pernah bergelut dengan babi hutan yang mengamuk. Perangkap sering dipasang dan pagar kayu yang kukuh dibina untuk menghindari kejadian yang tidak diingini. Penduduk kampung sentiasa bekerjasama demi keselamatan keluarga masing-masing. Lagi pun, di kalangan mereka bukan orang lain. Semuanya berasal daripada moyang yang sama.

Pada zaman itu, pelajaran tidak dititik beratkan. Malah sekolah juga tidak banyak. Jadi, bapak saya tidak tahu menulis, maklumlah dia berhijrah dari Jawa tengah, Puworjo dengan datuk saya ketika umurnya 6 tahun. Sungguh pun begitu, bapak dan emak sentiasa berdoa semoga anak-anak mendapat pelajaran yang cukup. Kelak mereka tidak perlu menoreh getah lagi bagi menampung kehidupan di masa hadapan.

Oleh kerana bapak mempunyai suara yang lunak, dia diberi tanggung jawab sebagai  bilal masjid. Saya masih ingat bila dia baca quran dan melaungkan qasidah secara berlagu, memang sedap didengar.  Maka  kami adik-beradik sudah ditanam dengan unsur-unsur keIslaman yang jitu. Dari kecil kami belajar mukaddam. Juga diasuh supaya sentiasa bersifat baik sesama insan. Emak dan bapak sama-sama penyabar.Bapak bersuara kuat dan tegas, kadang2 anak2 rasa takut juga bila dia menegur kita. Mereka memberi yang terbaik supaya kami belajar mengenal erti kehidupan yang sebenar. Selain itu, dalam komuniti kampung tersebut, saya mempunyai ramai kawan-kawan di kalangan sepupu-sepapat. Ibu dan ayah saudara juga menjadi seperti ‘guru’ yang mendidik secara tidak langsung.

“Mid, kamu jangan tinggal sembahyang. Itu tiang agama,” begitu pesan bapak. “Orang yang malas sembahyang tak akan selamat di dunia mahu pun akhirat, jadi, ingatlah selalu. Dengar kata orang-orang tua ni, banyak berkatnya...”. Pagi2 lagi bapak akan kejut kita untuk mandi dalam kolam dan menunaikan solat subuh. Itu mudah bagi kita kerana kita tidur awal , jam 9 malam kerana ketika itu kita tiada lampu letrik dan TV.

Datuk dan nenek juga memainkan peranan membentuk siasah diri yang terpuji. Waktu itu manalah hendak faham. Bila usia meningkat, barulah kita sedar semua teguran dan nasihat yang diberikan itu semata-mata untuk melihat diri kita menjadi insan yang berguna. Jikalau tidak kerana perhatian dari segenap orang dalam keluarga yang besar, nescaya kita akan menjadi manusia yang tidak berperibadi mulia.

“Mid, jangan buat benda-benda tak baik,” emak pernah berkata. “Walau pun orang tak nampak, tapi Tuhan nampak. Hah, nanti dapat dosa, dilempar dalam neraka. Mid nak masuk syurga ker neraka?” Mata emak akan menusuk terus ke dalam jiwa saya.

“Syurga.”
Emak tersenyum dan mengangguk. Emak sentiasa memasak makanan yang enak-enak di dapur kayu. Sentiasa ada makanan untuk dijamah apabila penat bermain kejar-kejar di halaman. Emak inginkan semua anak-anaknya membesar dengan sempurna. Bukankah itu juga harapan setiap ibu dan ayah? Mereka berusaha siang dan malam untuk memberikan yang terbaik meski pun keadaan tidak mewah.

Menjelang tahun 1950, semasa berumur 5 tahun, saya mula bersekolah dikampung. Sekolah itu dibina dari kayu yang diketam dan beratap daun nipah. Tingkapnya juga jenis yang disendal dengan sebatang kayu. Manakala lantainya simen. Bangku dan meja kayu melengkapkan bangunan yang dikenali sebagai ‘sekolah atap’ itu.

Bapak menceritakan, dia ada sama semasa perjumpaan untuk membina sekolah atap di kampung itu. Di antara yang hadir sama adalah imam masjid dan beberapa orang kampung yang agak berpengaruh dan sering memberikan pendapat demi kebaikan bersama.
Pada satu ketika, ketua kampung iaitu Haji Munip berdiri lalu berkata, “Saya wakafkan tanah milik saya di tepi jalan kampung tu, sebagai tapak sekolah atap yang akan dibina. Saya harap sekolah ini nanti akan menjadi tempat anak-anak kampung menimba ilmu pelajaran. Kita semua pun tahu, pelajaran sangat penting pada masa ini. Sebab tiada pelajaranlah kita boleh ditindas oleh orang lain yang lebih maju ke depan...”.

Ramai orang menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan pendapat Haji Munip itu. Sebagai ketua di kampung itu, Haji Munip agak berada orangnya. Dia mempunyai beberapa ekar ladang getah dan berpuluh bidang tanah. Pengaruhnya juga besar di kalangan pegawai berbangsa Inggeris yang bekerja di pejabat kerajaan di Muar. Malah anak2 Hj Munip adalah diantara yang terawal mendapat pelajaran inggris.

“Pegawai di Jabatan Pelajaran sudah berjanji untuk menghantar cikgu ke sini,” ujar Haji Munip lagi. “Cikgu akan ajar anak-anak kita supaya mereka jadi pandai. Bila pandai, boleh masuk sekolah Inggeris di bandar. Kelak kampung kita akan bertambah maju dan makmur. Dan Tanah Melayu akan menjadi sejahtera.”

Orang-orang kampung pun beramai-ramai menghantar anak masing-masing yang sudah cukup umurnya. Oleh kerana jarak sekolah atap itu dengan rumah saya kira-kira sebatu, saya kena berjalan kaki. Lagi pun, keluarga saya tidak mempunyai kenderaan.

“Mid, cepat siap...kamu kena pergi sekolah...” Emak mengejutkan saya setiap pagi. “Hah, bawa bekal air dengan nasi ni, boleh makan masa di sekolah nanti.”

Alam persekolah sangat menarik hati kerana setiap hari saya belajar menulis dan membaca. Buat pertama kalinya, saya dapat memegang buku dengan tulisan, gambar dan nombor yang pelbagai ragam. Sungguh seronok waktu itu kerana sekolah adalah tempat di mana rakan-rakan sebaya berkumpul. Semua orang bercakap tentang abjad A, B dan C. Saya belajar menuliskannya dalam huruf besar dan kecil. Bagi saya, ia amat menggembirakan. Malah lebih baik daripada bermain guli, gasing atau layang-layang sepanjang hari.

Guru juga mengajar kami menyanyi. Kebanyakannya lagu-lagu Melayu seperti Bangau Oh Bangau, Enjit-enjit Semut, Rasa Sayang Hei, Can Mali Can dan lain-lain. Kami turut sama belajar melukis dan membuat kraftangan dengan tali atau kadbod yang disediakan oleh cikgu. Banyak perkara baru dan menarik yang saya pelajari di sekolah atap itu.